Ahad, 15 April 2012

Kanser

InsyaAllah untuk post kali ini saya kongsikan serba sedikit pengetahuan mengenai kanser. Mungkin ramai yang tak tahu, dan ada juga yang kurang mengambil berat mengenainya. Langkah yang terbaik ialah dengan mencegah, dan langkah pertama untuk mencegah ialah dengan mencari ilmu, untuk mengenali kanser dan cara mencegahnya. Tergerak untuk saya memilih tajuk ini, kerana ada dikalangan rakan saya sendiri yang sudah mempunyai masalah ini. Walaupun masih muda, masih belajar, tetapi kanser ini tidak mengenal usia. Saya berharap, dengan perkongsian ini kita sama-sama dapat mencegahnya, dan dapat mengingatkan rakan-rakan dan ahli keluarga kita. Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tahun 2006, kanser merupakan penyebab kematian ketiga yang tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 10.59%. Sebanyak 21,773 kanser dikesan pada tahun 2006, dengan 11,799 pesakit kanser terdiri daripada wanita dan 9,974 oleh lelaki. Antara jenis kanser yang sering dihidapi ialah kanser payudara, usus, paru-paru, pangkal rahim, nasopharynx dan prostat.

Malaysia Cancer Statistic 2006
Terdapat banyak faktor yang membawa kepada pembentukan kanser, daripada bahan kimia (chemical), radiasi, virus dan perwarisan daripada ahli keluarga. Prosesnya melibatkan perubahan pada DNA sel-sel, dan menyebabkan sel itu membahagi dengan tidak terkawal. Tumor (ketumbuhan) yang terbentuk itu akan mengganggu fungsi organ yang terlibat, dan akan merebak ke organ lain (metastasis). Salah satu simptom untuk mengetahui bahawa kita mempunyai kanser ialah penurunan berat badan dan kurang selera makan, kerana sel-sel yang abnormal ini berupaya menarik nutrient untuk proses pembahagiannya. Kaedah rawatan konvensional masa kini, lebih tertumpu kepada chemotherapy dan pembedahan. Chemotherapy secara umumnya bertujuan menghapuskan sel-sel yang rosak tersebut, atau menghentikan tumbesarannya. Kelemahan rawatan ini ialah kesan sampingannya yang teruk dan menyakitkan. Pembedahan pula bertujuan membuang sel-sel yang rosak itu, terutama yang masih kecil dan belum merebak. Hasilnya selalunya menyebabkan pesakit itu terpaksa mengorbankan sebahagian organnya, dan sesetengah pembedahan juga boleh menyebabkan kanser tersebut merebak kebahagian yang lain. Kos rawatan juga sangat tinggi, tidak semua orang boleh menerima rawatan ini, terutama mereka dari golongan miskin dan sederhana. Sanggupkah anda lalui semua itu? Cubalah tanya rakan, atau saudara mara anda yang mengalaminya, cuba selami perasaan mereka. Anda mungkin menangis jika anda letakkan diri anda pada tempat mereka. Oleh itu, kita perlulah berusaha mencegahnya, dan sampaikan pada rakan-rakan yang tidak tahu. Tidak susah, pencegahannya boleh dilakukan oleh sesiapa saja, iaitu dengan menjaga pemakanan kita. Diet yang seimbang dan pemilihan yang betul akan membantu kita mencegah kanser.

Pertama, kita perlu kurangkan makanan berlemak. Lemak binatang yang terdiri daripada lemak tepu (saturated fats) didapati sebagai salah satu faktor yang membawa kepada pembentukan kanser. Minyak tumbuhan yang dihasilkan melalui proses pemanasan pula terdiri dari trans fat, atau nama lainnya hydrogenated fat. Lemak ini sangat merbahaya, bukan saja membawa kepada penyakit jantung, malah boleh menyebabkan kanser. Antara bahan yang mengandungi banyak trans fat ialah marjerin, makanan sejuk beku, makanan bergoreng yang menggunakan minyak yang sama berulang kali.

Saturated fats and Intestinal Cancer
Trans fat linked to Breast Cancer
Kedua, mengurangkan pengambilan daging merah seperti daging lembu, kambing, dan juga daging yang diproses (sosej, berger). Prospective study yang dijalankan terhadap 500,000 orang, mendapati seramai 53,396 orang mendapat kanser selepas 8.2 tahun. Daging merah dan daging yang diproses didapati positif terhadap kanser usus dan paru-paru, disamping meningkatkan risiko mendapat kanser esophagus dan hati (liver).

Red and Processed Meat relation to Cancer Risk
Ketiga, perbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayuran, terutama yang mempunyai kandungan Vitamin A,C, E, beta carotene dan mineral. Vitamin C merupakan antioxidant berbentuk larut air (water-soluble) yang utama, manakala vitamin E pula sebagai antioxidant berbentuk larut lemak (fat-soluble). Antioxidant berfungsi melindungi sel daripada radikal bebas (free radical), yang merupakan penyebab kepada terjadinya kanser. Vitamin A dan beta-carotene (provitamin A) juga didapati dapat mencegah kanser, kerana fungsi utama vitamin ini ialah mengawal pertumbuhan dan pembezaan sel-sel badan. Kekurangan fungsi tersebut membawa kepada pembentukan kanser, dimana sel tersebut membentuk tisu jenis yang lain dan bukan sel yang sepatutnya.
Antioxidant and Cancer Prevention

Vitamin C terdapat banyak dalam buah-buahan sitrus, vitamin E dalam sayur-sayuran hijau dan beta-carotene dalam buah dan sayur yang mengandungi kandungan warna tinggi seperti lobak merah, apricot, sayur bayam. Jika terlalu malas untuk membeli buah-buahan, belilah multivitamin yang dijual difarmasi terdekat, insyaAllah ianya akan membantu kita mencegah berlakunya kanser dan hidup sihat sejahtera. Seperti yang kita tahu, kanser juga boleh disebabkan oleh virus. Kajian terhadap minyak kelapa seperti yang saya tulis sebelum ini, yang mempunyai sifat antiviral, turut mampu mencegah kanser. MCT (medium chain triglyceride) juga mampu menghalang pembentukan radikal bebas, disamping monolaurin yang terbentuk didalam sel mampu membunuh enveloped virus, termasuk HIV.

MCT inhibit free radical formation & TNF-alpha production
Toxicology properties of MCT
Inactivation of enveloped virus
Coconut Research

Terdapat banyak lagi kajian yang dijalankan mengenai bahan antikanser. Contohnya gingko biloba, yang didapati mampu melawan kanser terutama payudara dan otak. Halia pula mengandungi selenium dan germanium yang tinggi, turut mampu mencegah kanser. Lingzhi (Ganoderma lucidum) seperti yang saya tulis sebelum ini. Kajian mendapati Lingzhi mempunyai 4 bahan aktif yang sangat baik iaitu polysaccarides, organic germanium, triterpenes dan superoxide dismutase. Bahan ini mampu meningkat immun sistem dan mempunyai sifat antikanser. Sebab itulah masyarakat Cina mengenali Lingzhi sebagai ubat yang memanjangkan hayat hidup.

Begitulah serba sedikit langkah-langkah yang boleh kita ambil dalam mencegah kanser. Kita juga tidak boleh lupa kepada Pencipta kita, kerana Allah-lah yang mencipta penyakit ini dan hanya Dia yang mampu menyembuhkan kita. Pengharapan dan doa yang berterusan, dengan izinNya, akan memberikan kita kesihatan yang sejahtera. Saya harap dengan perkongsian yang sedikit ini dapat membantu rakan-rakan pembaca. Mohon teguran atas silap dan salah, dan pertambahan ilmu dari pembaca jika ada, semoga dengan ilmu yang bermanfaat ini, akan membantu kita semua, insyaAllah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.