Selasa, 12 Jun 2012

Jangan mudah putus asa

 

Rakan ‘suntik nyawa’ - Lelaki OKU bangkit selepas 10 tahun kemurungan mampu gengam ijazah, pandu kereta.

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
IPOH: Seorang lelaki lumpuh layak digelar orang kelainan upaya (OKU) ‘super’ apabila bukan saja mampu menggenggam segulung ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan, malah berupaya memandu kereta sejak empat tahun lalu selepas hanya berkurung hampir 10 tahun dalam bilik akibat kemurungan dan tekanan hidup. Mohd Shamsul Anuar Ibrahim, 39, kini mengagumkan ramai pihak termasuk keluarganya apabila mampu berdikari sepenuhnya selepas disahkan lumpuh seluruh badan akibat kemalangan motosikal berhampiran Pulau Carey, Banting, Selangor pada 1997.

Akibat kemalangan itu, Mohd Shamsul Anuar mengalami kemurungan dan mensia-siakan hidupnya selama hampir 10 tahun dengan hanya berkurung dan terlantar di rumah keluarganya di Tapah. Namun, pengalaman bertemu rakan senasib empat tahun lalu menukar fikirannya sebelum membuat keputusan untuk mengubah nasib diri dengan menyambung pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Dia yang ditemui di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Buntong (PPDKB) di sini, berkata, akibat kemalangan itu, dia mula hilang punca dan banyak mensia-siakan masa. Menurutnya, sepanjang hampir 10 tahun, dia hanya terlantar di katil dan tidak melakukan apa-apa kerana kecewa dan tidak dapat menerima takdir. “Namun, saya seperti menerima ‘nyawa’ baru apabila bersedia untuk mengubah nasib diri dengan kembali menyambung pelajaran. “Sebelum ini, saya memiliki Diploma Pengurusan Ladang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1993, malah diterima masuk ke OUM berdasarkan pengalaman lima tahun dalam bidang kerja berkenaan selain usia tidak melebihi 35 tahun,” katanya selepas tamat program Kembara Komuniti Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) di PPDKB di sini, baru-baru ini. Katanya, dia mengakui pengalaman bertemu beberapa rakan senasib membuatkan hatinya terbuka untuk melanjutkan pelajaran dan meneruskan kehidupan. Menurutnya, jika tiada aral, dia merancang melanjutkan pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada masa depan.

“Hasil rawatan berterusan, saya kini sudah boleh menggerakkan tangan dan beberapa anggota badan lain dan mampu memandu kereta yang diubah suai. “Saya menyeru kepada insan senasib supaya tidak mudah patah semangat dan tampil ke pusat kebajikan terutama PPDK berhampiran untuk meneruskan kehidupan selain melakukan sesuatu sebagai bekalan masa depan,” katanya. Dia kini dilantik Ahli Jawatankuasa (AJK) PPDKB selain berperanan sebagai pakar motivasi yang memberi dorongan kepada pesakit senasib dengannya.
P/S : Isu ini dipetik dari harian metro kerana pengajaran yang boleh diambil daripadanya. Serupa juga  dengan pesakit kanser, anda tidak boleh putus asa. Ajal maut di tangan tuhan. doktor kata anda cuma ada 6 bulan saja lagi tetapi Allah yang penentu segala-galanya.
15:55   Janganlah engkau termasuk orang-orang yang putus asa.
15:56   Berfirman Allah;  tiada yang berputus asa dari pada rahmat Tuhannya, melainkan orang-orang yang sesat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.