Selasa, 12 Jun 2012

Teh Sukat Jadi Punca Kanser

Teh Sukat Jadi Punca Kanser


Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak pengambilan berterusan air teh sukat yang banyak dijual di gerai-gerai teh tarik bagi mengelak risiko penyakit kanser. Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Mustafa Ali Mohd berkata, bahan pewarna tiruan (sintetik) yang banyak dipakai dalam industri mewarna kain menjadi pilihan kerana kosnya lebih murah serta mudah didapati. “Bahan pewarna ini mempunyai pelbagai jenis dan kumpulan. Salah satu daripadanya ialah bahan karsinogen yang sangat berbahaya kerana ia tidak boleh dihadam dengan baik. “Ia juga boleh mengubah DNA manusia sekali gus mendorong pertumbuhan pelbagai jenis barah dalam tisu hidup,”‘ katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam. Antara jenis barah berpunca daripada bahan karsinogenik ialah barah paru-paru, barah hati, barah prostat dan barah usus. Katanya, teh itu biasanya tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di kebanyakan kedai runcit. Ia menjadi pilihan ramai pengusaha gerai makanan dan minuman kerana harganya murah serta diletak pewangi sintetik. Mustafa berkata, serbuk teh murah itu jika dicampur dengan air panas akan serta-merta mengeluarkan warna kuning pekat. “Tindak balas itu menandakan wujudnya bahan pewarna tiruan. “Bagi serbuk teh asli tanpa bahan pewarna tiruan, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk mengeluarkan warna, malah ada jenis daun teh asli yang kita terpaksa kacau lama sebelum airnya dapat mengeluarkan warna kekuningan,” katanya. Orang ramai dinasihatkan bertanya kepada pengusaha gerai makanan dan minuman kerana itu hak pengguna untuk memilih makanan dan minuman yang sihat serta selamat untuk diri mereka.

Sumber: www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.