Rabu, 12 Disember 2012

Kacip Fatimah awet muda


Kacip Fatimah Ejen antipenuaan

 2010/09/30 - 10:02:00 AMOleh Jami’ah Shukri

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ejenantipenuaankacipfatimah/Article

KHASIAT tumbuhan hutan kacip fatimah atau nama saintifiknya ‘Labisia Pumila’ sudah diketahui begitu berkesan sebagai ubat tradisional untuk mengekalkan sistem reproduksi yang baik wanita sama ada merangsang, memudahkan proses bersalin mahu pun perawatan selepas bersalin. Malah, hasil kajian juga mendapati kacip fatimah ini boleh merawat penyakit buasir serta mengubati sakit dalam tulang serta meroyan. Sebenarnya terlalu banyak khasiat yang boleh dirungkai menerusi pokok liar itu sebagai bahan alternatif dalam bidang perubatan selain untuk tidak terlalu bergantung kepada ubat moden. Penemuan terbaru khasiat kacip fatimah ialah ia mampu menjadi ejen antipenuaan dan mencerahkan wajah. Penemuan itu terhasil menerusi kajian sekumpulan saintis daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Dongguk Korea Selatan. Hasilnya, lahirlah produk hasil rumusan daripada kacip fatimah iaitu dengan menggunakan jenama ‘Labicea Revitalizing Moisturizer’ yang mampu melindungi sel kulit daripada kesan kerosakan akibat pendedahan pada sinaran matahari. Pendedahan berterusan menyebabkan kulit mengalami proses penuaan pramatang atau dikenali sebagai proses foto-penuaan serta mampu meningkatkan sintesis kolagen. Kacip Fatimah mengurangkan sintesis melanin (untuk pencerahan wajah) serta boleh bertindak sebagai ejen antiradang. Tumbuhan itu juga mengandungi kandungan antioksida yang lebih tinggi, lebih dua kali ganda daripada asid askorbik atau vitamin C. Pengurus Cawangan Loji Pandu Kejuruteraan Kimia Kampus Antarabangsa UTM, Prof Madya Dr Azila Abdul Aziz, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Abstrak Kacip Fatimah sebagai ejen antipenuaan’, di UTM, baru-baru ini, losyen pelembap ‘Labicea Revitalizing Moisturize’ itu adalah produk penjagaan kulit yang pertama di dunia menggunakan kacip fatimah sebagai bahan aktif antipenuaan. Azila berkata, kajian awal mendapati kacip fatimah sangat berpotensi bertindak sebagai ejen antipenuaan. “Kajian akan diteruskan bagi mengenal pasti komponen kacip fatimah yang bertanggungjawab terhadap antipenuaan. “Selain itu, kajian lebih menyeluruh terhadap kesan kacip fatimah ke atas kulit manusia juga sedang dijalankan,” katanya. Azila menambah losen kacip fatimah itu dapat merawat, menambah dan merangsang pertumbuhan tisu pada kulit yang rosak dan kurangan keanjalan akibat penghakisan kolagen.  Apa yang penting, Azila berkata, produk penjagaan kulit berasaskan kacip fatimah ini memberikan satu lagi alternatif kepada masyarakat khususnya wanita mengekalkan kecantikan dan mengurangkan kedutan wajah sebelum melangkaui usia sebenar. Pengambilan bahan ini juga lebih meyakinkan kerana ia lebih dijamin lebih selamat, halal, menggunakan bahan ramuan asli, tanpa bahan pengawet yang meragukan selain sudah terbukti hasil kajian saintifik serta diuji.

 

 

Agen antipenuaan dalam Kacip Fatimah

                     Oleh NORILA DAUD

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Hasil kajian dua penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Dongguk, Seoul Korea mendapati herba Kacip Fatimah mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan penemuan agen antipenuaan dalam tumbuhan itu. Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang, agen antipenuaan dalam tumbuhan herba itu yang ditemui dalam kajian Profesor Dr. Mohamad Roji Sarmidi dan Prof. Dr. Chan Seo Park itu boleh digunakan untuk produk kosmetik. Sebelum ini katanya, Kacip Fatimah hanya digunakan untuk kesihatan dalaman wanita seperti memberi tenaga tambahan, menstabilkan hormon wanita dan melancarkan perjalanan darah. "Kajian ini adalah yang pertama direkodkan mengenai tumbuhan herba ini terhadap kulit dan analisis mendapati ekstrak daripada tumbuhan itu ternyata amat tinggi nilainya sebagai agen antipenuaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Sementara itu jelasnya, kajian makmal juga menunjukkan ekstrak Kacip Fatimah berupaya menghasilkan kolegen untuk mengatasi kerosakan kulit akibat pendedahan kepada sinar ultraungu. Beliau memberitahu, kajian itu juga mendapati sesetengah ekstrak herba itu berupaya bertindak sebagai agen antiradang ke atas sel kulit di samping mengandungi agen pemutihan. Menurut beliau, hasil daripada penemuan itu, UTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Dongguk pada November lalu. Ditanya mengapa kerjasama itu dilakukan dengan Universiti Dongguk, Zaini memberitahu, universiti tersebut mempunyai makmal mengkaji kemujaraban sesuatu penemuan sementara UTM mempunyai kelengkapan penyelidikan berharga RM50 juta. "Kita hanya akan menjual bahan-bahan mentah (ekstrak) Kacip Fatimah yang berharga dalam lingkungan RM1,000 sebotol kecil dalam bentuk cecair dan serbuk kepada yang memerlukannya,'' jelasnya. Dalam pada itu katanya, walaupun mendapat permintaan daripada beberapa pihak dari luar negara namun UTM masih mengutamakan untuk menjual ekstrak herba itu kepada pengusaha tempatan. Beliau juga memberitahu kajian ke atas Kacip Fatimah telah dilakukan sejak tahun 2007 oleh Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) UTM dan Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Biokimia, Universiti Dongguk. Sementara itu Prof. Madya Chang- Seo Park berkata, penemuan tersebut dijangka mendapat perhatian pembuat produk kosmetik pada Persidangan Kosmetik yang diadakan di Yokohama, Jepun Mac depan. Beliau berkata, selama ini pembuat produk kosmetik sentiasa mencari bahan baru untuk agen antipenuaan yang tidak memberi kesan sampingan kepada pengguna. Menurutnya Kacip Fatimah yang telah digunakan oleh wanita Melayu sejak 400 tahun lalu didapati mujarab dan selamat digunakan untuk kulit. "Tumbuhan ini saya anggap unik dan penemuan terbaru terhadapnya dijangka mendapat perhatian dan sambutan dari kalangan pembuat produk kosmetik peringkat antarabangsa," tegasnya. Sebelum berhijrah ke Universiti Dongguk, Seo Park pernah bekerja di syarikat Toosan Cosmetics di Korea dan merupakan seorang pakar dalam bidang farmaseutikal pada 1995

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.