Rabu, 12 Disember 2012

Teh Karas Ubat Darah Tinggi & Kencing Manis


Teh Karas Ubat Darah Tinggi dan Kencing Manis

MARANG - Pokok karas yang dikomersialkan untuk mendapatkan gaharu bagi tujuan penghasilan minyak wangi rupa-rupanya mempunyai khasiat lain iaitu sebagai ubat kepada pelbagai jenis penyakit. Atas keistimewaan itu, Jabatan Perhutanan negeri telah pun membangunkan projek tanaman pokok tersebut di atas tanah seluas 47 hektar di Merchang dekat sini bagi memproses dan mengeluarkan sejenis minuman herba yang dinamakan teh karas. Menurut Pengarah Perhutanan negeri, Akhirudin Mahmud, bagi menambah khasiat minuman herba yang dikatakan boleh mengubati penyakit kencing manis dan darah tinggi, ramuan minuman itu turut dicampur beberapa herba lain.

Minuman dari daun gaharu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Pokok gaharu sinonim dengan pembuatan produk wangian, namun mungkin masih ramai yang belum mengetahui ia juga boleh diproses menjadi minuman kesihatan yang baik untuk penghidap kencing manis dan darah tinggi. Pegawai Ehwal Ekonomi Bahagian Ladang Hutan, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MITB), Mohd Zamakhsyary Mustapa berkata, minuman berkenaan dikenali sebagai teh karas terbukti membantu meningkatkan kesihatan penghidap dua penyakit berkenaan sekiranya diminum setiap hari. Menurutnya, ketika ini teh berkenaan lebih popular di kalangan masyarakat Cina kerana kaum terbabit lebih menyukai teh herba dan kurang dikenali di kalangan orang Melayu.  “Kami mengambil inisiatif memproses teh karas ini dengan mengambil daun muda pokok gaharu dan dikeringkan sebelum diurai menggunakan mesin khas. “Setakat ini ada beberapa syarikat di Malaysia menghasilkan teh karas, namun ada antaranya yang gagal mendapat sambutan kerana harga terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui di Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria) 2012, di sini, semalam. Mohd Zamakhsyary berkata, MITB melaksanakan inisiatif memproses teh karas kerana mahu menguar-uarkan kebaikan produk itu, sekali gus membuka peluang kepada mana-mana syarikat yang bercadang menjalankan perniagaan minuman berkenaan. “Kami turut memproses teh ini untuk diberikan sebagai cenderahati kepada orang ramai dan bukan bertujuan untuk jualan. Setakat ini, maklum balas daripada orang ramai mendapati teh ini sedap dan tidak banyak perbezaan dengan teh herba lain. “MITB menggalakkan mana-mana pihak yang menjual teh karas meletakkan harga berpatutan dan tidak terlalu tinggi kerana kos memproses teh ini murah sebenarnya,” katanya.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.