Rabu, 12 Disember 2012

produk melamin disita


866 produk terdapat melamin disita

ARKIB : 29/09/2008

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sebanyak 866 tindakan penyitaan telah dijalankan ke atas produk makanan dipasaran tempatan bernilai RM318,742.10 yang disyaki mengandungi melamin, kata Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd. Othman hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi bijirin bernilai RM2,284.09, kekeras (RM6,469.30), konfeksi (RM236,099.33), produk coklat (RM34,397.11) dan susu (RM39,492.27). Katanya, 994 produk makanan daripada 35 syarikat yang tidak terlibat dengan pencemaran melamin telah dikemaskini sehingga ke hari ini.

Dalam satu kenyataan akhbar, beliau berkata sampel makanan telah diambil dan dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan ia mematuhi standard sebelum dibenarkan untuk dijual di pasaran.

Katanya, keputusan analisis bagi 10 lagi sampel produk makanan telah diperoleh dan kesemuanya mematuhi standard bagi melamine, ini menjadikan sampel produk yang telah dianalisis setakat ini sebanyak 26 sampel.

Beliau menasihati pengguna supaya tidak perlu risau mengenai melamin kerana kementerian telah mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu ini.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa membaca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan di pasaran.

Noraini berkata, sekiranya masih ragu-ragu, pengguna boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di empat talian iaitu 03-88833655, 88833503, 88833652 dan 88833500.

Talian ini, katanya dibuka dari 8 pagi hingga 9 malam termasuk cuti umum dan hari raya. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web http:fsq.moh.gov.my
 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.