Sabtu, 6 Julai 2013

Doktor pelatih bawa pistol menyamun



Ipoh: Seorang doktor pelatih yang menyamar pegawai polis menumbuk dada seorang peniaga ketika menyamun mangsa di Jalan Dato Onn Jaafar, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.25 pagi, suspek berusia 26 tahun dan berasal dari Selangor dikesan melakukan jenayah itu bersama tiga rakannya yang juga penuntut sebuah kolej swasta di Perak.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kumpulan empat penjenayah yang menaiki kereta mewah Mercedes Benz itu menahan seorang peniaga sebelum mengugut mangsa menyerahkan wang tunai.
Menurutnya, suspek dikesan menyamar polis dengan memakai ves dan topi dengan lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain memiliki gari, lampu siren dan pistol bagi tujuan penyamaran.
“Suspek dikesan menahan ahli perniagaan berusia 30 tahun itu yang memandu kenderaan melalui Jalan Dato Onn Jaafar. “Sebaik memberhentikan kenderaan, suspek yang memakai vest polis meluru ke arah kenderaan mangsa. Mangsa yang membuka pintu keretanya terkejut apabila ditumbuk di dada oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil menunjukkan pistol yang tersarung di pinggang,” katanya.
Beliau berkata, suspek meminta RM350 daripada mangsa dan mengugut mahu membawa mangsa ke balai polis jika mangsa tidak menyerahkan wang diminta.

“Mangsa yang tidak mempunyai wang mencukupi kemudian dipaksa membuat pengeluaran wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Sultan Idris.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di bank berkenaan, suspek mendapati mesin ATM tidak berfungsi. Suspek naik angin dan memaksa mangsa menyerahkan wang tambahan RM100 menjadikan jumlah keseluruhan RM450,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, tindak-tanduk mencurigakan suspek bagaimanapun disedari unit polis peronda yang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar Pekan Baru, di sini.
“Anggota polis terbabit memberkas suspek sebelum menjalankan siasatan lanjut terhadap keempat-empat suspek itu. Hasil pemeriksaan kemudian menemui vest dengan lambang polis berpangkat asisten komisioner, topi, gari, lampu siren, sepucuk pistol mainan dan kad agensi Renjer Khas Malaysia dengan jawatan timbalan penguasa. “Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu kini direman sehingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.